Malaysia berisiko menjadi pusat perhambaan moden sekiranya kegagalan sistemik dalam proses pengambilan pekerja asing tidak ditangani, kata kumpulan hak pekerja migran, Tenaganita.
Pengarah Eksekutifnya, Glorene Das menyeru kerajaan merombak sepenuhnya model pengambilan pekerja sedia ada, dan beralih kepada perjanjian buruh dua hala yang mengikat secara sah dengan semua negara sumber.
“Memorandum persefahaman (MoU) yang sedia ada dengan Bangladesh dan negara sumber lain adalah tidak mengikat dan tidak boleh dikuatkuasakan.
“Ia dirangka tanpa libat urus bermakna bersama masyarakat sivil, kesatuan sekerja atau wakil pekerja migran. Hasilnya, wujud ruang bagi segelintir agensi berkepentingan politik untuk memonopoli pengambilan pekerja atas nama ‘sah di sisi undang-undang’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Glorene menambah agensi-agensi ini sering diberikan kuota tanpa proses tapisan sewajarnya, meskipun ada antara mereka tidak mempunyai operasi perniagaan sebenar atau kapasiti kewangan yang mencukupi.


